Tuesday, October 19, 2010
APAKAH ALASAN KALIAN?
Pabila azan hanya tinggal sekadar alunan yang singgah di cuping telinga
Sedih melihat saudara seIslam ku sibuk dengan hal duniawi sehingga lupakan urusan ukhrawinya.
Bukan jemaah yang bergegas ke masjid dan surau yang dilihatnya
Tetapi bergegas ke kereta, membawa si kekasih keluar entah ke mana
Lupakah kalian kepada kekasih yang abadi? Yang takkan hancur dimamah usia, takkan luput cintanya?
Iaitu adalah Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
Apakah alasan kalian untuk tidak menjalankan perintahNya?
Azan tiada kedengaran, menjadi alasan
Alasan mudah bagi yang mengambil endah
Mengambil endah akan tuntutan agamanya
Wajibnya solat berjemaah tiada dikiranya
Tiadakah takwim solat untuk dirujuk?
Tiadakah azan berkumandang dari surau dan masjid yang lain?
Tiadakah radio yang menyatakan masuknya waktu solat?
Apakah lagi alasan kalian untuk tidak bersolat?
Apakah lagi alasan kalian untuk tidak berjemaah?
Surau dan masjid yang ada dibiarkan kosong seperti gua
Katanya di bilik kami jemaah bersama
Apalah kiranya kalau diajak semuanya turun untuk berjemaah bersama?
Bukankah lagi ramai jemaah, lagi besar pahalanya?
Apakah alasan kalian untuk tidak turun juga?
Kerana surau yang dibiarkan seperti gua
Rumah suci Allah dicerobohi manusia durjana
Habis dikebas wang derma
Tidakkah takut akan azabNya?
Apakah alasan kalian bila mana nak mengelak di hisab nanti?
Apa pula kisahnya di wakaf-wakaf?
Jarang lengang. Terutamanya di kala dingin malam, romantis kononnya.
Siapa pengguna tetapnya?
Pasangan-pasangan ‘bahagia’. ‘Teman’ tapi ‘mesra’. Berdiskusi, tapi hanya berdua.
Katanya tak apa. Bukan bahaya. Selamat, tempat terbuka.
Adakah kalian selamat dari fitnah?
Adakah kalian selamat dari godaan nafsu dan syaitan?
Adakah kalian selamat dari kutukan malaikat?
Adakah kalian selamat dari murka Allah?
Sedarlah kalian semua akan cinta dan kasih sayang Rasulullah SAW
Yang kepalanya berdarah di baling batu
Yang lehernya merah dibelit kain
Yang giginya patah, gusinya berdarah dalam peperangan
Yang dirinya dikatakan gila kerana menyampaikan risalah
Risalah agung dari Yang Maha Berkuasa
Bagaimanakah kalian hendak menghentikan tangis Nabi?
Apakah alasan kalian di hadapan Rasulullah nanti?
Gilakah saya mengamalkan Islam?
Gilakah kalian mengamalkan Islam?
Gilakah kita? Asing sangatkah kita?
Hanya kerana mengamalkan apa yang diamalkan Rasul tercinta
“Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat peringatan bagi orang-orang yang mempunyai hati atau akal atau yang menggunakan pendengarannya?” (50:37)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment