Jabir bin Abdullah berkata: "Pada suatu hari sewaktu saya bersama baginda Rasulullah SAW maka tiba-tiba datang seorang lelaki yang berwajah putih bersih, rambutnya pula sangat cantik dan dia memakai pakaian yang putih. Lalu dia menghampiri Rasulullah SAW dengan berkata: "Assalamualaikum ya Rasulullah, apakah ertinya dunia itu?"
Maka Rasulullah SAW pun bersabda: "Dunia itu adalah impian orang yang tidur."
Bertanya orang itu lagi: "Apakah ertinya akhirat itu ya Rasulullah SAW?"
Bersabda Rasulullah SAW: "Satu kumpulan manusia yang berada dalam syurga dan satu kumpulan lagi berada di dalam neraka Sa'ir."
Orang itu bertanya lagi: "Apakah syurga itu?"
Bersabda Rasulullah SAW: "Sebagai ganti dunia untuk mereka yang menjauhkan dunia, kerana sesungguhnya nilai harga syurga itu sama dengan menjauhkan dunia ini."
Bertanya orang itu lagi: "Apakah Jahanam itu?"
Maka Bersabda Rasulullah SAW: "Jahanam itu adalah sebagai ganti dunia bagi mereka yang mencarinya."
Bertanya orang itu lagi: "Siapakah sebaik-baik umat ini?"
Bersabda Rasulullah SAW: "Sebaik-baik umat ialah yang taat kepada Allah SWT."
Orang itu bertanya lagi: "Bagaimana yang dikatakan orang yang taat itu?"
Bersabda Rasulullah SAW: "Orang yang berusaha bersungguh-sungguh sebagaimana orang mencari kafilah."
Orang itu bertanya lagi: "Seberapakah ketentuan taat itu?"
Bersabda Rasulullah SAW: "Seperti kira-kira perbezaan dari kafilah."
Bertanya orang itu lagi: "Berapa jarak jauhnya dunia dengan akhirat itu?"
Bersabda Rasulullah SAW: "Hanya sekadar memejamkan mata sahaja."
Jabir melanjutkan ceritanya: "Setelah orang itu pergi kami tidak lagi melihat orang itu selepas itu."
Bersabda Rasulullah SAW: "Orang lelaki yang datang tadi adalah Jibril a.s., dia datang kepada kamu supaya kamu semua menjauhkan diri dari dunia dan supaya kamu mencintai akhirat."
Bersabda Rasulullah SAW lagi: "Sesungguhnya Allah SWT tidak menciptakan makhluk yang lebih dibenci selain dunia, bahkan Dia (Allah) tidak melihatnya sejak menciptakannya."
Wallahu'alam.
No comments:
Post a Comment